Monday, November 7, 2011

Apa Itu Unit Amanah Islam


Apa Itu Unit Amanah Islam

Unit amanah Islam juga adalah lanjutan daripada dana unit amanah sedia ada di pasaran. Bagi anda yang masih baru dengan unit amanah, ia adalah satu bentuk pelaburan – sebagaimana anda melabur dalam saham, hartanah, komoditi dan sebagainya. Pada asasnya, sekumpulan wang yang disatukan di dalam satu dana unit amanah, oleh pelabur-pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama, akan dilaburkan oleh syarikat pengurusan pelaburan di dalam satu atau lebih kumpulan aset, dengan tujuan untuk mencapai objektif pelaburan tadi.
Menariknya, unit amanah Islam adalah ia merupakan unit amanah yang mendapat status patuh Syariah. Oleh yang demikian, anda tidak perlu ragu untuk melabur di dalam unit amanah Islam kerana ia telah disemak dan disahkan oleh pihak berwajib.
Anda mungkin bertanya, “Siapa yang memantau pelaburan ini?” dan juga “Bagaimana dengan kontrak perjanjian pelaburan dana ini?”

Peranan Suruhanjaya Sekuriti dan Pemegang Amanah
Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah sebuah badan yang berperanan memantau semua perkara yang berkaitan dengan unit amanah. Ia adalah tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan Garispanduan mengenai Dana Unit Amanah, Suruhanjaya Sekuriti. Ini bermakna semua dana yang diluluskan SC adalah dipantau pergerakannya.
Pemegang Amanah atau trustee berperanan memastikan surat ikatan / perjanjian atau deeds dipatuhi. Dengan kata lain, pemegang amanah menjaga aset para pelabur, iaitu kita. Pemegang amanah boleh jadi sama atau tidak sama di antara satu dana dengan satu dana yang lain. Maklumat ini boleh diperolehi daripada prospektus dana.
Anda mungkin bertanya lagi, “Halalkah pelaburan unit amanah ini?”

Peranan Penasihat Shariah Dana
Penasihat Shariah pula adalah individu atau syarikat yang dilantik menjadi penasihat kepada dana-dana islamik sedia ada. Penasihat syariah bertanggungjawab menasihati pengurus-pengurus dana dari aspek pelaburan di dalam kaunter-kaunter ataupun kelas aset yang patuh Shariah. Penasihat Shariah ini mendapat kelulusan daripada SC dan kelulusan tersebut bukan untuk selamanya. Adalah penting untuk mengetahui sama ada berlaku perubahan terhadap penasihat syariah dana supaya kita jelas tentang pelaburan yang diuruskan oleh pengurus-pengurus dana mendapat kelulusan daripada penasihat Shariah yang diluluskan.  Maklumat-maklumat penasihat Shariah dana juga boleh diperolehi daripada prospektus dana dan juga di laman web Suruhanjaya Sekuriti.

Ke mana duit kita dilaburkan?
Seperti penerangan awal tadi, unit amanah adalah pelaburan kolektif – duit pelabur dikumpulkan, dan dilaburkan ke dalam kelas aset yang selaras dengan objektif pelaburan. Oleh yang demikian, kita perlu jelas akan objektif dana yang kita labur. Jika objektif dana adalah untuk mencapai pertumbuhan modal contohnya, maka duit yang terkumpul akan dilaburkan ke dalam syarikat-syarikat yang sedang berkembang atau sedang meningkat naik. Jika objektif dana adalah untuk memperolehi pendapatan tetap melalui syarikat yang menawarkan dividen, maka duit yang terkumpul akan dilaburkan ke dalam syarikat-syarikat yang memberikan dividen kepada pelabur mereka.
Siapa yang menentukan kaunter mana yang perlu dilaburkan? Kaunter mana yang perlu dijual? Ia adalah tanggungjawab pengurus dana. Pengurus dana mungkin orang yang sama, mungkin juga berbeza mengikut dana. Bukan mudah peranan dan tanggungjawab seorang pengurus dana, kerana ada banyak dana yang berbeza objektif dan strategi. Sebab itulah perlu ada lebih daripada seorang pengurus dana. Matlamat pengurus dana – memberikan ‘best effort‘ untuk menghasilkan pelaburan yang menguntungkan selaras dengan objektif dan strategi yang telah ditetapkan. Objektif dan strategi ini boleh diperolehi secara mendalam di dalam prospektus dana.

Keuntungan dan Pulangan
Keuntungan daripada pelaburan unit amanah adalah dalam bentuk pertumbuhan modal (capital gain) dan agihan (distribution). Pertumbuhan modal digambarkan sebagai turun-naik harga seunit saham, manakala agihan digambarkan sebagai dividen atau bonus. Bagi unit amanah yang tiada perubahan harga jual-beli seperti ASB, keuntungan hanya digambarkan melalui dividen dan bonus sahaja. Polisi agihan keuntungan ini ada dinyatakan di dalam prospektus dana. Adalah menjadi tanggungjawab pengurus dana untuk memberikan usaha terbaik mereka untuk menghasilkan keuntungan yang besar kepada para pelabur. Perlu diingat bahawa tiada jaminan bahawa agihan atau keuntungan tersebut akan diberikan setiap tahun. Oleh yang demikian, baca dan fahami polisi pelaburan anda.

No comments:

Post a Comment